„Oho, malam ni ada aktiviti burung hantu.”
“Oh, eh? Apa yang menarik sangat dengan burung hantu?”
Ada apa dengan burung hantu? Sekadar menguji alias membina keberanian? Dalam masa yang sama menguji ketahanan?
Tah. Saya secuba-cubanya cari ibrah dari mukhayyam yang satu ini, tapi hati ini tidak merasa serasa masa skytrex 2-3 hari lepas. Makanya saya pulang dengan tangan kosong? Hrmm…
Maghrib tadi, semasa membaca Dasar-Dasar Islam oleh Al-Maududi,
“Perumpamaan orang yang sama sekali tidak tahu perbezaan antara Islam dan kufr serta perbezaan Islam dan syirik adalah ibarat seseorang yang berjalan pada sebuah jalur jalan yang gelap. Mungkin sekali, ketika ia sedang mengikuti sebuah jalur yang lurus, langkahnya menyeleweng ke arah yang lain dan ia tidak sedar bahwa ia telah menyeleweng dari arah yang lurus yang harus ditempuhnya. Dan mungkin sekali, di tengah jalan ia akan menemui dengan seorang dajjal yang akan mengatakan kepadanya, “Hai Nak! Kamu telah tersesat dalam kegelapan. Mari, kupimpin engkau pada tujuanmu.” Pejalan yang malang itu, kerana gelap tidak bisa melihat dengan matanya sendiri mana arah yang lurus. Kerana itu, tanpa curiga apa-apa, ia akan segera menyambar tangan si dajjal dan terus berpegang kepadanya, dan si dajjal akan membawanya ke jalan yang sesat.”
Ahah. Mungkin inilah ibrah yang sepatutnya diterima. Di malam yang gelap tanpa cahaya bulan menerangi. Tiada juga lampu jalan dan lampu suluh. Di jalan yang berliku-liku, banyak cabang dan rintangan. Dalam hutan yang gelap, hanya Allah sahaja mengetahui. Hanya ada tali rafia yang terikat di pepohon, juga sahabat-sahabat dalam kumpulan(dalam kes saya).
Tanpa ada penunjuk arah, tanpa tali raffia, tanpa lampu, mungkin sahaja kita tersasar dari jalan yang kita lalui. Bahkan tanpa kita sedar pun. Jika kita sedar, tanpa petunjuk, mampukah kita kembali ke jalan yang lurus semula? Mampu? Tidak? Dengan izin Allah, kita mungkin mampu, tetapi dalam keadaan yang sangat payah kerana berjalan tiada petunjuk. Apatah lagi dalam hutan yang gelap itu, kita bukan sahaja mungkin tersesat jalan, malah mungkin terjatuh. Itu tidak dikira dengan ancaman lain di hutan. Siapa mungkin menjamin keselamatan kita pada waktu ini?
Juga, adakah sesiapa yang berani dan memandai-mandai tidak mengikut tali rafia yang telah diikat untuk memimpin kita pada jalan yang lurus? Ada?
"Bahaya ini mungkin sekali akan menimpa pejalan tersebut kerana ia tidak memiliki obor apapun dan kerananya ia tidak dapat melihat rambu-rambu sepanjang jalan yang ditempuhnya. Apabila ia mempunyai obor, tentulah ia tidak akan tersesat atau disesatkan oleh orang lain. Dari contoh ini anda bisa memahami bahawa, bahaya terbesar bagi seorang muslim adalah ketidak tahuannya sendiri tehadap ajaran Islam... Kerana tidak punya pengetahuan ia pasti akan meraba-raba sepanjang jalan dan akan disesatkan... Tetapi bila ia mempunyai obor pengetahuan, maka ia akan mampu melihat ke jalan Islam yang lurus..."
Tidak. Fitrahnya, kita akan mengikut tali rafia untuk sampai ke destinasi. Samalah seperti hidup kita. Tanpa pedoman, kita yang lahir sebagai muslim, yang pada asalnya berada di jalan yang benar, mungkin akan tersasar tanpa kita sedar, kerana kurangnya pengetahuan kita, kerana degilnya kita untuk mengikut pedoman yang telah diberi. Kita sudah tahu, kita sudah kenal kita sudah yakin dengan pedoman untuk menjalani hidup ini, seperti mana kenal dan yakinnya kita akan tali rafia yang telah diikat untuk keluar dari hutan semasa aktiviti burung hantu ini, tetapi kenapa kita sukar sekali mengikut pedoman hidup kita seperti mana kita mengikut tali rafia tersebut?
Fikir-fikirkanlah