Assalamualaikum..
Hari ini seperti hari-hari lain, cuba sehabis daya untuk mentaati perintahnya.
Bermimpi lagi. Entah kali ke berapa. Menghadiri ceramah agama bersama sahabat seperjuangan. Diberi nasihat oleh ibu tercinta. Solat berjemaah. Hampir semua mimpi saya berkisar mengenai perkara yang sama. Meluahkan apa yang terbuku di dada. Iaitu fitrah untuk hidup dalam lingkungan Islam. Kerinduan hati ini untuk merasa suasana Islam. Kedahagaan jiwa ini dengan program Islamik. Nostalgia di MRSM dan KTT.
Handset berbunyi setengah jam sebelum subuh, tapi hanya bangun sewaktu azan subuh dilaungkan handset yang sama. Jika subuh masuk pukul 5.30, pukul 5.30lah bangun. Jika pukul 4.30, 4.30 jualah bangun. Padahal sudah terjaga seawal pukul 4pagi. Beginilah keadaannya sejak pindah rumah. Entah sekali dua je bangun qiamullail di rumah sendiri, berbanding hanya sekali dua tinggal qiamullail di dorm dulu. Dan setiap kali azan dilaungkan itulah baru tersedar, nafsu lebih menguasai diri.
Allah berfirman;
Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.
(Surah Al-Isra' 17:79)
(riwayat Muslim)
Terlepas lagi daripada rahmat Ilahi. Sukar untuk bangun qiamullail. Dan yang sukar itulah waktu rahmat melimpah ruah. Waktu yang disukai-Nya untuk beribadah.
Wahai orang yang berselimut!. (1) Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), (2) Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, (3) Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil". (4) (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). (5) Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya. (6) (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya; (7) Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan. (8) Dialah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu. (9)
(Surah Al-Muzammir, 73:1-9)
Sukar sungguh menguasai diri, mengawal nafsu. Padahal kitalah pemimpin kepada diri dan nafsu kita sendiri.
Daripada Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w katanya: Baginda telah bersabda: Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin.
Pandangan dilemparkan ke jendela, dan seperti biasa jatuh ke arah gereja. Gereja besar di old town, yang kira-kira 1.7km dari rumah saya. Dan berjalanlah kemana-mana sekalipun, pasti gerejalah bangunan yang paling banyak dijumpai. Kadang-kadang tidak tersedar bahawa bangunan yang biasa nampak hari-hari sebenarnya adalah gereja. Telah berapa ramai nun yang telah saya nampak, yang muda dan yang tua. Dan berapa ramai pula muslimah yang pernah saya terserempak? Hanya pelancong Turki dua kali, selain dua muslimah yang turut belajar di sini.
Bangun untuk mengambil wuduk, lantas menunaikan solat Subuh sendirian. Ya, itulah hakikatnya. Jarang sekali berjemaah. Sukar. Subuh kerana kesukaran bangun awal. Zohor, Asar, dan Maghrib kerana kelas. Isyak pula, entahlah kenapa. Padahal berjemaah itulah yang digalakkan Islam.
Seusai solat subuh, Al-Quran pula dibaca, cuba dihafaz. Merasakan setiap cubaan menghafaz, semakin sukar. Mungkin kerana dosa-dosa yang semakin bertimbun, mungkin kerana pemakanan, mungkin kerana semakin longgarnya syariat Islam dalam diri. Iman seperti kulit kentang, mudah dikupas setelah direbus air yang panas.
Bersiap pula untuk ke kelas. Cuba membandingkan diri dengan orang lain, di manakah perbezaannya cara berpakaian saya? Cukup Islamkah cara berpakaian saya dengan hanya memakai tudung? Bagaimana pula dengan baju dan seluar yang dipakai, cukup legapkah? cukup longgarkah? adakah ia menarik perhatian?
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda,
“Dua kelompok daripada penghuni Neraka yang aku tidak pernah melihatnya (semasa hidupku): Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor lembu dan mereka melibas-libas orang dengannya. Yang kedua adalah wanita yang akan telanjang walaupun mereka sedang berpakaian, perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya seumpama bonggol unta. Dan perempuan yang sebegini keadaannya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. “
[Hadith riwayat Muslim]
[Hadith riwayat Muslim]
Apabila sedar telah melakukan dosa, hati ini tiada perasaan, tiada rasa bersalah, tiada rasa malu dan takut kepada-Nya, padahal akal sedar akan kesalahan tersebut.
Ya Allah, Engkau lebih mengetahui betapa jauhnya hambaMu ini daripadaMu, dan Engkau jua lebih mengetahui betapa hambaMu ini semakin jauh, hari demi hari, detik demi detik
Sangat-sangat rindukan hidup dalam kalangan orang Islam, dalam suasana Islam. Adanya orang menegur kesalahan kita, adanya orang mengingatkan kita pada Ilahi, adanya orang terus memberi pedoman dan panduan.
Sangat-sangat merinduinya, cuba mengubati dengan selalu membuka laman web ustaz-ustaz yang mana artikel mereka sangat kena dengan keadaan diri, menambah ilmu, juga muhasabah diri. Ustaz Hasrizal, yang pernah menetap di Ireland, Ustaz Pahrol yang selalu bemuhasabah, ustaz Zaharuddin dengan pelbagai fiqh, juga Dr MAZA yang sangat kontroversi. Laman web Jakim tidak lupa dilawati. Buka facebook pun, ramai sahabat berstatuskan petikan ayat Quran, hadis, dan kata-kata hikmah. Tulis blog ini pun, sebagai peringatan kepada diri. Selalu juga google untuk menambah ilmu di dada.
Beruntung mereka yang belajar di UK, Ireland, hatta Warsaw sekalipun, yang mempunyai komuniti muslim di sana. Cemburu melihat laman web persatuan pelajar islam mereka, penuh dengan pelbagai aktiviti yang dapat mengeratkan ukhuwah. Teringin untuk sertai. Teringin untuk menjadi sebahagian daripada mereka.
Namun, penyesalan, keluhan semuanya tidak bermakna, tidak berguna. Hanya usaha dengan iltizam yang kuat akan membuahkan hasil. Allah telah mentakdirkan belajar di sini, tapi kehidupan di sini, baik atau buruk, semuanya bergantung pada diri sendiri. Apa yang diperlukan adalah keyakinan bahawa Allah telah memilih yang terbaik untuk hamba-Nya, setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya, Dia tidak akan menjadikan sesuatu itu sia-sia, dan Dia senantiasa bersama hamba-Nya.
Dengan keyakinan tersebut, yang perlu sentiasa diingati, cuba berusaha kembali kepada-Nya.
Out for tahajud
Tiada ulasan:
Catat Ulasan