Islamic Widget

Selasa, Mac 15, 2011

Dakwah is Fun (فن)

Assalamualaikum,
Alhamdulillah, Allah masih beri kita kesempatan untuk terus berbakti di dunia ini, menunaikan tanggung jawab kita sebagai hamba Allah dan khalifah.

Kali ini saya ingin berkongsi sedikit kisah mengenai dakwah, yang saya dapat daripada program SH, usrah dan juga melalui pengalaman serta pembacaan. Siapa yang masih kurang jelas mengenai tanggung jawab ini, saya sarankan baca dahulu mengenai tujuan hidup manusia, apa erti syahadah kita, dan sedikit mengenai dakwah.

Baiklah, setelah kita faham betul-betul tanggung jawab yang besar ini, barulah boleh kita memulakan langkah seterusnya, iaitu cara untuk berdakwah.

Untuk memulakan langkah dan amanah ini, kita kena ada contoh yang terbaik. Qudwah kita adalah Rasulullah. Kita lihat cara baginda. Bagaimana baginda berdakwah? Apa kaedah yang digunakan?

Lihat dan hayati lagu ini.

Ya, langkah dakwah Rasulullah adalah sangat simple! Baginda hanya menunjukkan akhlak yang sangat mulia, sehingga orang yang membencinya, boleh terbuka hati untuk terus memeluk Islam pada saat itu juga!
Apa yang baginda lakukan? Hanya berbuat baik kepada manusia seperti biasa, iaitu menolong perempuan tua ini mengangkat barang, kemudian, hanya bersabar dan mendiamkan diri bila dirinya dicemuh oleh perempuan tua yang tidak mengenalinya. Dan langkah yang diambil itulah yang menyebabkan perempuan tua itu tertarik dengan baginda dan dengan ajaran yang dibawa baginda, lantas mengucapkan syahadah kala itu juga.

Rasulullah orang muda,  boleh je kan baginda naik berang dan melakukan sesuatu kepada perempuan tua yang lemah ini. Dahlah penat-penat dia tolong, kena cemuh depan-depan lagi! Tapi, baginda tidak begitu, di situlah istimewanya baginda. Di situlah, kita kena mencontohi baginda. Akhlak yang mulia itu penting. Jika tidak, masakan Rasulullah bersabda;
"Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia"

Dan Allah sendiri telah berfirman;
Dan bahawa sesungguhnya engkau(Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia. (QS 68:4)
Sesungguhnya telah ada pada [diri] Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu [yaitu] bagi orang yang mengharap [rahmat] Allah dan [kedatangan] hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (QS 33:21)



Lihat video ini pula. Ya, ini memang adalah salah-satu cara dakwah moden. Manusia lebih mudah memahami dan menerima sesuatu yang dia dapat lihat dan dengar serta berfikir. Jadi pelakon, penulis skrip, pengarah, penerbit, penyunting filem, jurukamera, jurusolek dan semua yang telah terlibat dalam penggambaran ini semuanya telah berdakwah! Lihat, mudahkan? Dan sungguh menyeronokkan.

DAKWAH IS FUN (فن)
Apa yang anda faham apabila mendengar istilah ini?
Ya, dakwah adalah menyeronokkan.
Tapi, itu bukan maksud utama yang hendak saya sampaikan, tapi..
فن adalah bahasa Arab yang bermaksud seni.
Ya, dakwah itu adalah seni.

Memang dakwah itu bermaksud menyambaikan kebenaran, tetapi untuk menyampaikan kebenaran itu dengan lebih efisen dan menyentuh hati, kita perlu cara yang terbaik. Sebagaimana banyak manusia banyak ragam, seperti itu jugalah sepatutnya, banyak manusia banyak cara dakwah. Lain orang, lain cara dakwah terbaik baginya.

Ya, dakwah itu seni, seperti mana seni itu penuh dengan kepelbagaian cara dan kaedah, seperti itulah dakwah. Seperti mana seni itu penuh dengan pelbagai warna, seperti itulah dakwah. Seperti mana seni itu boleh memberitahu sesuatu secara jelas mahupun secara tersirat, seperti itulah dakwah. Seperti mana seni itu berbeza mengikut kemampuan masing-masing seperti itu jugalah dakwah. Seperti mana hasil seni bergantung kepada pelbagai aspek, begitu jugalah dakwah. Seperti mana kertas kena bersesuaian dengan alat seni (pensel hanya perlukan kertas biasa, warna air perlukan kertas yang lebih tebal, dsb) seperti itulah dakwah!

Maka kita dapat lihat, cara dakwah Rasulullah berbeza mengikut situasi dan penerima dakwah. Kita juga perlu mencontohi baginda.
Adakah anda fikir, mat-mat rempit di luar sana akan melayan anda jika tiba-tiba anda datang marah-marah kata "Korang semua ni telah buat dosa besar, masuk neraka tahu!"?
Adakah anda fikir, orang yang terjebak dengan gejala sosial akan mengikuti anda jika tiba-tiba anda datang memberi ceramah panjang lebar kepada mereka?
 Adakah anda fikir, orang yang jauh daripada Islam, tidak menunaikan rukun Islam kecuali yang pertama akan bertaubat bila anda beritahu kepada mereka perbuatan mereka selama ini salah?
Mungkin, mungkin..

Kebanyakan mereka telah tahu apa yang anda beritahu, mereka tahu perbuatan itu semua salah, berdosa besar, kena bertaubat, kalau tidak masuk neraka, dll
tapi...

Mereka mempunyai masalah. Pelbagai masalah. Ada yang mempunyai masalah dengan rukun Islam dan rukun Iman itu sendiri, jika mereka tidak meyakini, masakan  hati mereka dapat tunduk, patuh dan takut kepada Yang Maha Esa? Ada yang sudah yakin, tetapi mungkin mereka tersesat jalan, tergelincir atau terbabas, daripada jalan yang lurus. Mungkin kabur dan samar-samar di pertengahan jalan. Ada yang tidak dapat mengawal hasutan nafsu dan musah yang nyata. Ada yang mungkin juga tidak mempunyai ilmu mengenainya dan tidak tahu.

Jadi, kita kena kenal pasti semua ini, dan perkara ini tidak dapat kita ketahui, jika kita tidak mengenali sasaran dakwah kita.

Pertamanya, kita kena yakin dengan apa yang kita sampaikan. Untuk itu, kita kena menuntut ilmu.
Keduanya, kita kena kenal sasaran dakwah kita, dan letak diri kita dalam situasi dan keadaannya.
Ketiga, barulah cara dakwah. Kita kena berdakwah dengan cara halus, sehalus mungkin, tetapi sampai maksudnya dan misi dakwah kita.

Saya tertarik dengan suatu cerita;

Ada seorang yang tidak solat langsung sepanjang hidupnya, sudah penat diajak, dinasihati, dimarah, diejek dan pelbagai lagi oleh orang kampungnya dan setiap daie yang datang berkunjung ke kampungnya, tetapi dia tetap begitu.


Suatu hari, seorang ustaz datang ke kampung tersebut, lalu diberitahu tentang perangai lelaki tersebut. Ustaz pun pergi ke rumah lelaki tersebut. Namun, dia tidak menyebut langsung pasal Islam apatah lagi menasihati lelaki itu. Kunjungannya hanyalah bertanya khabar dan merapatkan silaturrahim sahaja. Begitulah seterusnya, ustaz datang berkunjung ke rumah lelaki tersebut saban hari, sehinggakan lelaki tersebut sudah mula rapat dengan ustaz.


Suatu hari, ustaz berkata, "sudah sampai masanya untuk aku pergi"
Lelaki itu sedih kerana akan kehilangan teman. 
"Ustaz, ada apa-apakah yang dapat aku lakukan buatmu?"
"Cuma ada suatu ingin ku tanyakan. Selama ini aku tidak pernah melihat engkau solat"
"Memang benar ustaz"
"Mungkinkah kau dapat melakukan sesuatu buatku. Bilakah masa kau bangun dan membersihkan diri?"
"Saya sudah bersiap untuk ke ladang sejak subuh ustaz"
"Jikalau begitu, apa salahnya kau mengambil wuduk selepas mandi dan solat subuh. Hanya dua rakaat tidak berat bukan?"
"Baik ustaz"


Sejak itu, lelaki itu tidak pernah meninggalkan solat Subuhnya. Namun, itu sahaja. Empat waktu lagi tidak dia laksanakan.


Tahun berikutnya, ustaz tersebut datang lagi. Orang kampung mengadu perihal lelaki itu kepadanya. Ustaz hanya tersenyum. Dia seperti dahulu, meneruskan ziarahnya setiap hari ke rumah lelaki tersebut. Dan sekali lagi, telah tiba masanya untuk dia pergi.
"Aku dengar kamu sudah mula solat Subuh"
"Memang benar ustaz"
"Alhamdulillah. Bilakah pula masanya engkau berehat di ladang"
"Selalu saya akan berehat dan bersihkan diri untuk makan sebelum menyambung kerja di ladang semula ustaz"
"Jikalau begitu, apa salahnya jika engkau lebihkan air ke muka, tangan sehingga ke siku, sedikit di kepala dan kaki sehingga ke buku lali dan solat selepas engkau makan?"
"Baik ustaz"


Dan begitulah, lelaki tersebut mula tekun Solat Subuh dan Solat Zohor, tetapi tidak buat tiga waktu yang lain.


Tahun berikutnya, ustaz tersebut datang lagi. Dan seperti yang anda boleh bayangkan, begitulah seterusnya.
Setelah lima tahun, baru lelaki tersebut laksanakan solat lima waktu sehari semalam.

Lebih kurang beginilah ceritanya (diolah mengikut ingatan saya)..

Saya juga tertarik mengenai cara seorang daie berdakwah kepada rakannya yang couple. (Maaf saya tidak dapat sertakan linknya di sini kerana pembaharuan website menyukarkan saya mencarinya kembali)

Rakannya ini belajar dalam bidang agama jadi dia mengetahui secara jelas tindakannya tidak, tetapi mungkin, dia tersalah langkah. Beginilah pendekatan dia.


Oleh sebab hubungannya dengan rakannya agak baik, ini memudahkan langkah dakwahnya. Dia mengajak rakannya berbual bersama suatu malam. Mereka berbual mengenai perkara biasa, tentang kehidupan, sehingga rakannya berasa selesa. Sehingga pada suatu masa yang dirasakan sesuai, barulah dia bertanya, 
"Ana dengar enti couple?"


Lalu tanpa disuruh rakannya itu bercerita tentang buah hatinya tanpa sedikit pun memotong. Setelah sudah, dia bertanya lagi, "Enti yakin ke dia boleh jadi ibu kepada anak-anak enti nanti" 


Lalu tanpa disuruh juga, rakannya mula meluahkan segala kegusaran dan kerisauannya dan dia juga sebenarnya tidak selesa dengan hubungan itu.


Dan akhirnya, tanpa disuruh, dinasihati dan dipaksa, rakannya pada malam itu juga membuat keputusan untuk break up. 

Dia sedar sebenarnya dia salah, tapi..

Saya turut tertarik dengan firman Allah semasa Dia menyuruh Nabi Musa a.s. berdakwah kepada Firaun.

 Pergilah kamu beserta saudaramu dengan membawa ayat-ayat-Ku, dan janganlah kamu berdua lalai dalam mengingat-Ku; (42) Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas; (43) maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut. (44)
[Surah Ta haa 20: 42-44]


Allah juga telah mengajar Nabi Muhammad tentang cara-cara berdakwah;


Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu... ( Surah Ali Imran 3:159)


Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk. (16:125)


Fikir-fikirkan apa pengajaran daripada kisah yang saya petik. 


Pertamanya, kita kena membina tautan hati dahulu, baru mudah kita dapat menyampaikan. Setelah tautan hait, persaudaraan yang erat itu terbina kukuh, dakwah akan menjadi lebih mudah, kerana dia tahu, kita hanya mahu yang terbaik buat dirinya sendiri dan kita memahami dirinya.


Keduanya, pernah berhenti dan berputus asa berdakwah, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Mana tahu setiap perbuatan kita sebenarnya dia perhati? Mana tahu suatu hari hatinya terbuka?


Ketiganya, benda ni memang mengambil masa. Kadang-kadang bukan setakat seminggu dua, sebulan dua, setahun dua, malah seluruh usia dakwah kita baru diterima. Kita tidak boleh expect manusia akan berubah sekelip mata (walaupun ada keberangkalian). Kerana hakikatnya manusia memang sukar berubah. 


Ketiganya, akhlak yang mulia, dan lemah lembut semasa berdakwah. Kekerasan hanya menyebabkan dia lari. Sudah tentu kita tidak mahu menjadi punca dia melarikan diri dari ajaran Islam sebenar bukan?


Dakwah itu seni. Kita adalah orang seni. Bergantung kepada kitalah hasil seni tersebut.


Wallahu 'alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan